
Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz (Muallim)/Unit Korporat SUK Perak
TANJUNG MALIM, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, di sini semalam.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Perak diikuti dengan alunan bacaan al-Quran sebelum baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan lafaz perasmian SMK Proton City.
Fadhlina dalam sembah ucapannya, berkata sekolah yang telah beroperasi bermula pada tahun 2018 itu menggunakan konsep bilik darjah bergerak atau ‘mobile classroom’ bagi mengoptimumkan penggunaan 42 bilik darjah sedia ada.
“Pelajar akan bergerak ke bilik guru mata pelajaran mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Sekolah yang telah siap dibina pada tahun 2017 ini terletak kira-kira 5 kilometer dari pekan Tanjung Malim dan pembinaannya menelan kos sebanyak RM29.9 juta.
-ZS-