Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Jelajah Madani KSM di Batu Caves Sedia 1,000 Peluang Pekerjaan

By 5 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai melalui program Jelajah Madani siri ketiga di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, berkata program jelajah dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan penyertaan 10 majikan daripada pelbagai sektor.

Beliau menjelaskan karnival itu usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan negeri ini mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Ini peluang berharga untuk mereka mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran masing-masing.

“Diharap ia memberi impak positif kepada majikan dan pencari kerja,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian jelajah itu yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sivakumar turut memaklumkan melalui dua siri jelajah sebelum ini di Taman Sentosa, Klang dan Pulau Sebang, Melaka seramai 314 daripada 697 individu yang menghadiri temu duga  berjaya ke proses tapisan kedua.

Selain Perkeso, jelajah melibatkan agensi seperti HRDCorp, TalentCorp, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Tabung Pembangunan Kemahiran.

Majikan terlibat antaranya Harvey Norman, Prasarana, Senheng, Chicken Rice Shop, Red Contact Sdn Bhd, Maha Mas Medic Service Sdn Bhd dan EliteTrax Marketing Sdn. Bhd.

Program ini juga melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara bagi memberi perkhidmatan dan pencerahan berkait isu kewarganegaraan.

Turut diadakan pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi gubahan bunga dekorasi aising kek, penyampaian bakul makanan dan sumbangan komputer riba.

-ZS-

Tinggalkan komen anda