
Oleh M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 4 April (Malaysiaaktif) – Jalinan hubungan kerjasama antara Komuniti-komuniti 1Malaysia (K1M) badan kelolaan Jabatan Penerangan Malaysia memberi kesan positif dalam meningkatkan lagi ilmu pengetahuan terutama dalam pembangunan produk-produk K1M.
Pada Sabtu lalu, K1M Kampung Sawah, Port Dickson mengadakan program Jelajah Minda ke Negeri Melaka di Memorial Kemerdekaan Banda Hilir bagi melihat sendiri pembangunan produk pelancongan yang menjadikan Melaka sebagai negeri ikon pelancongan di Malaysia.
“Walaupun K1M Kampung Sawah telah memenangi pelbagai anugerah iaitu Johan Komuniti 1Malaysia peringkat Kebangsaan 2009 dan Naib Johan Anugerah Desa Sejahtera Peringkat Daerah Port Dickson, kehadiran ke Melaka ini akan menambahkan lagi idea-idea dalam memajukan lagi produk K1M Kampung Sawah,” jelas pengerusi K1M Kampung Sawah, Misnan Madiman.
Antara produk-produk K1M ialah pelancongan homestay, produk makanan dan pertanian selaras dengan hasrat jabatan untuk melahirkan usahawan yang berjaya di kalangan ahli-ahlinya.