Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

“Pulau Nami” Bachok Dicacatkan Ketidakprihatinan Pengunjung

By 4 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Wan Mohd Zuki Wan Ismail / Siti Meriam Mohamad (Bachok)

BACHOK, 4 Apr (Malaysiaaktif) – Pantai Senok, Bachok secara geografi menganjur ke utara dan sejak sekian lama bukan destinasi tumpuan orang ramai untuk beriadah atau dikunjungi.

Bagaimana pun, sekarang identiti pantai itu mula berubah dan semakin meluas dikenali setelah andaian persamaan dengan Pulau Nami di Korea menjadi viral dalam media sosial sejak Februari lepas.

Pantai ini yang dahulunya sunyi dan gersang seolah-olah telah mendapat nafas baharu hingga menonjol menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan.

 

IMG-20160401-WA0044

 

Tidak kurang ramai pengunjung mendakwa keindahan deretan pohon rhu yang menghijau di pesisir Pantai Senok mencipta detik dan senario seolah-olah berada di Pulau Nami, Korea.

Menurut seorang penduduk tempatan, Mohd Edy, 32, sejak Pantai Senok ini hangat diviralkan di media sosial pada Februari lepas, tempat ini menjadi tumpuan sehinggakan sering kali berlaku kesesakan hampir tiga jam untuk ke pantai dari simpang jalan besar Tawang-Wakaf Aik, terutama pada hujung minggu.

 

IMG-20160401-WA0046

 

Beliau melahirkan rasa kesal kerana sejak menjadi tumpuan umum untuk aktiviti riadah, ramai pengunjung yang tidak prihatin mencemarkan persekitaran dengan meninggalkan sampah sarap di merata kawasan. Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pandangan, tetapi menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat kita.

Namun demikian, pelbagai usaha dilakukan oleh masyarakat tempatan, termasuk para sukarelawan untuk menjaga keindahan Pantai Senok. Mereka berusaha menyediakan plastik bekas sampah berhampiran setiap pokok rhu dan juga menaikkan papan tanda mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan persekitaran.

Mohd Edy berharap pihak Majlis Daerah Bachok dan juga pihak Majlis Pelancongan Kelantan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan tong sampah, tandas awam dan kemudahan lain untuk memajukan Pantai Senok dan mengekalkan identiti yang dikatakan sinonim dengan ‘Pulau Nami’.

 

– SH/AAS

Tinggalkan komen anda