
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) proaktif untuk menyediakan satu lagi kemudahan tambahan dalam usaha merawat pulih mereka yang terjebak dengan penagihan dadah khususnya di Pantai Timur Sabah.
Melalui usaha itu, sebuah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu bakal dibina atas tapak keluasan 12 hektar di Batu 36, Tawau.

Penyerahan cenderahati kepada Shahelmy
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kerja-kerja awalan pembinaan PUSPEN dan Pusat Tahanan Reman (PTR) telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi Rolling Plan–4 (RP4) 2024 dengan kos siling keseluruhan sebanyak RM8.5 juta.
“Bagi pembinaan awalan itu, JKR Sabah dilantik sebagai agensi pelaksana projek dan tapak projek pembinaan PUSPEN Tawau ini mendapat pewartaan Kerajaan Negeri Sabah pada 14 Mac 2024.
“Saya berharap pada masa akan datang, apabila kerja awalan ini telah selesai dilaksanakan, kerja-kerja pembinaan PUSPEN Tawau ini dapat diteruskan agar perkhidmatan terbaik khususnya pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI),” katanya ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan PUSPEN di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, fasiliti itu bukan sahaja dinikmati oleh warga kerja AADK, sebaliknya turut memanfaatkan penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah amnya.
“Selain itu, dalam model rawatan dan pemulihan yang dijalankan AADK menerusi Model i-Pulih AADK turut mengadaptasikan modul sokongan sosial khususnya daripada sistem kumpulan sokongan terdekat seperti ibu bapa, suami atau isteri, ahli keluarga dan saudara-mara sebagai penyumbang kepada pengekalan kepulihan sepanjang hayat.
“Dengan adanya fasiliti ini, saya yakin dan percaya, kumpulan tertentu yang memerlukan perkhidmatan ini lebih mudah untuk mendapatkan akses rawatan dan pemulihan selain dapat menzahirkan sokongan khususnya ketika sesi lawatan keluarga yang menjadi terapi terapeutik kepada klien-klien AADK,” ujarnya.
Abdul Halim menambah, fasiliti berkenaan mampu menyediakan akses perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada kumpulan tertentu dengan lebih mudah khususnya ketika sesi lawatan keluarga yang menjadi terapi terapeutik kepada klien-klien AADK.

Selepas upacara pecah tanah yang disempurnakan Shahelmy
“Suka juga saya ingin ingatkan kepada semua agar melenyapkan stigma negatif terhadap penubuhan PUSPEN di kawasan ini, sebaliknya penubuhannya adalah usaha untuk memberi rawatan dan pemulihan kepada mereka yang tersasar daripada jalan ini,” jelasnya.
Terdahulu majlis pecah tanah itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah merangkap ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Shobah Jamil.
-AA-