
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar dan Belia 4B Iskandar Puteri mensasarkan peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan belia menerusi program perintis AI Untuk Belia.

Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan UTM Dr Mahadi Bahari, berkata program penguasaan AI ini akan diperluaskan lagi dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam kawasan Kota Iskandar
Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan UTM Dr Mahadi Bahari, berkata penguasaan teknologi kesedaran buatan (AI) bukan sahaja berpotensi mengubah cara hidup, cara bekerja dan cara belajar, malah ia juga mampu menghasilkan peluang pekerjaan, perniagaan dan produk serta perkhidmatan baharu.
“Program yang julung kali diadakan ini memfokuskan kepada pendedahan awal penggunaan AI Generatif bagi penghasilan kandungan teks dan penggunaan perisian dengan ciri AI untuk menghasilkan reka bentuk grafik dan video.
“UTM sentiasa komited untuk menyokong dan menjayakan perkembangan ilmu baharu termasuklah berkaitan AI sebagai salah satu manifestasi usaha kami menyedia dan menyebarkan pengetahuan serta kemahiran terkini untuk dikuasai khususnya oleh golongan belia dan masyarakat amnya,” katanya selepas majlis perasmian Program AI Untuk Belia Iskandar Puteri, di sini, semalam.
Program ini juga turut mendapat kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Desa Paya Mengkuang yang menyediakan tempat latihan dengan kelengkapan peralatan komputer dan perkhidmatan jalur lebar secara percuma.

Program AI Untuk Belia merupakan salah satu usaha untuk melengkapkan belia hari ini dengan pengetahuan dan kemahiran yang dipacu teknologi kesedaran buatan (AI)
Turut hadir, Penghulu Mukim Tanjung Kupang Mohamad Faiz Mohd Pandi, Pengerusi Gerakan Belia 4B Iskandar Puteri Amrulzaman Amil dan Pengurus NADI Desa Paya Mengkuang Natasya Alia A Rumzi.
-AA-