
Laporan/foto: Aniss Rahin/Hasbella Hasim (Perak Tengah)
KAMPUNG GAJAH, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Orang ramai menyerbu Program Jom Membalun Pulut Deroyan di Kampung Tersusun Changkat Lada, di sini kelmarin yang sememangnya terkenal sebagai lembah durian terbaik dalam kalangan penggemar raja buah.

Penduduk bergotong-royong menyajikan durian untuk dijamu kepada pengunjung.
Tok Sidang Mohd Nasir Husin, 60, yang juga Ketua Komuniti Pasir Salak berasa sangat teruja meskipun pertama kali menganjurkan program sebegini dengan hasil sumbangan durian daripada penduduk kampung.
“Saya cukup gembira dengan sambutan yang diterima daripada peminat durian yang datang ke kampung ini bagi merasai sendiri keunikan durian Kampong Gajah.
“Rasa durian yang unik dengan rasa lemak manis serta tekstur yang lembut membuatkan durian kampung di sini sangat berlainan dengan durian di tempat lain sehingga membuatkan penggemar durian ingin terus menikmatinya,” ujarnya.

Penggemar raja buah teruja merasai keenakan durian Kampung Gajah.
Sementara itu, penduduk, Rusidi Hitam, 62, menyifatkan kampung ini sangat berpotensi untuk dijadikan hub pelancongan durian kampung memandangkan ia satu tarikan baru yang perlu diketengahkan.
“Lebih menarik terdapat juga nama durian tempatan yang sangat unik seperti durian Tok Paduka, Janda Muda, Durian Badak dan lain-lain nama dengan rasa yang berbeza,” katanya.
-ZS-