
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Mohammad Hafizee Md Hashim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 40,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz akan diedarkan kepada warga Kuala Lumpur bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Antara inisiatif yang kita lakukan adalah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
“Kita akan keluarkan lebih 40,000 bendera untuk kita edarkan dan penduduk sekitar Kuala Lumpur boleh mengambil kesempatan mengibarkan Jalur Gemilang ini dalam kita menuju ke arah 31 Ogos ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa ketika melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL@Wangsa Maju di Taman Tasik Danau Kota, di sini semalam.
Ujarnya, Jalur Gemilang juga akan diedarkan ke Putrajaya dan Labuan dan akan ditambah mengikut keperluan.
“Ini akan meningkatkan rasa kebersamaan kita dan kebanggaan terhadap negara kita memandangkan negara telah mencapai kemerdekaan sejak 1957 dan menuju ke tahun yang ke-67,” kata Zaliha.

10 pemenang Program Pasport 50WP diraikan.
Terlebih dahulu, Zaliha telah merasmikan Karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL@Wangsa Maju anjuran bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bersempena Sambutan Jubli Emas Wilayah Persekutuan bertemakan Wilayah MADANI Rakyat Harmoni semalam, majlis turut meraikan 10 pemenang Program Pasport 50WP.
Program yang berlangsung dari 1 Oktober 2023 hingga 25 Februari lalu itu telah menerima sebanyak 7,750 penyertaan dan daripada jumlah tersebut seramai 337 peserta telah berjaya melengkapkan kesemua 50 lokasi checkpoint di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.
-ZS-