Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Komuniti MADANI Main Peranan Kukuhkan Perpaduan Kaum

By 29 Julai 2024Ogos 1st, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohamad Ezwandi (Perak)

TELUK INTAN, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Kesemua ahli jawatankuasa Komuniti MADANI yang dilantik digesa memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Seiring dengan sambutan bulan kebangsaan tidak lama lagi, masyarakat bukan sekadar diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang tetapi perlu bertindak aktif dan memastikan usaha gigih semua pihak mencapai perpaduan yang diinginkan.

Jualan Rahmah Kasih Sayang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

“Saya yakin dengan adanya Komuniti MADANI, kita mampu membentuk masyarakat harmoni yang hidup dalam suasana aman dan damai.

Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Koh Ling Xian, berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Teluk Intan, di sini pada Sabtu.

Koh Ling Xian hadir bagi menyampaikan pesanan ADUN Pasir Bedamar Woo Kah Leong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak.

“Selain itu, Komuniti MADANI boleh menjadi rakan strategik yang sesuai untuk membantu kerajaan menyebarkan maklumat dan informasi yang betul dan sahih kepada rakyat,” katanya.

Orang ramai mengambil peluang membuat saringan dan pemeriksaan kesihatan.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Perak Yosri Abu Mahsin, berkata Komuniti MADANI sebagai rakan strategik JaPen di bawah tatakelola Pejabat Penerangan Daerah menganjurkan program tersebut bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti setempat yang tinggal di Parlimen Teluk Intan.

“Komuniti MADANI turut berperanan membantu kerajaan memasarkan maklumat, inisiatif dan apa jua insentif kerajaan sehingga sampai kepada masyarakat seterusnya menyumbang kepada perpaduan di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Antara pengisian program termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan memasak manisan, saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma, pameran jabatan dan agensi serta Jualan Rahmah Kasih Sayang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda