
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak
TELUK INTAN, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Rukun Negara menjadi kunci kepada perpaduan kaum di Malaysia dan sebagai warganegara kita wajib menghayatinya.

Muhammad Syahmi menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan mewarna.
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Hilir Perak Muhammad Syahmi Sazali, Rukun Negara terdiri daripada lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
“Prinsip ini digubal selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 demi menyatukan kembali rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
“Kepelbagaian ini adalah unik dan tiada di negara lain maka ia perlu disyukuri bersama dan dianggap sebagai satu rahmat,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah sempena Program Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Dataran Menara Condong, di sini kelmarin.

Muhammad Syahmi mahu kepelbagaian kaum di Malaysia disyukuri dan dianggap sebagai satu rahmat.
Muhammad Syahmi turut mengajak agar masyarakat saling menerima dan meraikan perbezaan dengan menolak sebarang anasir negatif yang merosakkan makna perpaduan tersebut.
-ZS-