
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Daerah Tawau yang dihuni lebih 200 ribu penduduk dilihat sebagai antara lokasi strategik penganjuran Sabah Mega Food Fest selepas Kota Kinabalu pada Ogos lalu.
Festival yang mengangkat tema pelancongan gastronomi atau pelancongan yang bertujuan untuk menikmati makanan dan minuman khas di sesuatu kawasan itu menyajikan pengunjung dengan pelbagai jenis produk usahawan Semenanjung yang unik serta menepati cita rasa masyarakat tempatan.

Hazima mengabadikan kenangan di papan iklan program.
Salah seorang pengunjung, Hazima Momin, 37, berkata, festival seumpamanya itu bukan sahaja melonjakkan ekonomi malah pada masa yang sama mengeratkan perpaduan penduduk Semenanjung dengan orang-orang Borneo.
“Saya yakin Sabah Mega Food Fest ini akan menjadi acara yang sangat dinantikan oleh penduduk Tawau dan juga pelancong dari luar jika terus dianjurkan pada masa akan datang.
“Di festival ini banyak makanan yang saya belum pernah cuba lagi, yang tular di media soaial, jadi ini adalah peluang terbaik saya mencuba pelbagai jenis makanan yang lazat dari seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Sementara itu, bagi Syazwanie Nasip, 25, berpendapat festival ini wajar dimanfaatkam sebagai platform untuk mempromosi keunikan masakan setiap etnik yang ada dalam negara.
“Saya yakin ramai masyarakat yang teruja untuk mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan di festival ini, khasnya makanan daripada Semenanjung yang tidak ada dijual di Tawau atau Sabah.

Suasana sekitar Sabah Mega Food Fest.
“Sebagai rakyat Sabah, saya teruja untuk mencuba semua makanan dan harap lebih banyak makanan tradisi dijual, selain pengunjung dihiburkan dengan persembahan menarik sepanjang festival berlangsung,” ujarnya.
Untuk makluman, Sabah Mega Food Fest yang berlangsung dari 23 hingga 27 Oktober ini di Kompleks Sukan Tawau adalah
anjuran bersama Mabeles FF dengan kolaborasi Love Food Fest.
Pesta ini menampilkan penyertaan puluhan vendor kuliner terkemuka dari Semenanjung Malaysia antaranya SD (Suka Dessert), Kebab Corner Shawarma, Ayaq Gantung, Beger Bakar JNC, Chessetart Buncit dan The Godfather.
-ZS-