
Oleh Emran Ismail / Mohamad Azree/ Foto : Che Nor Ismail
RAUB, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Populariti kopi dalam pelbagai penyediaan melanda Raub, hingga terbaharu ketara kelihatan warung kopi dibuka di merata bahagian daerah ini bagi menampung permintaan penggemar.
Setakat ini dianggarkan seramai 15 peniaga menjalankan aktiviti jualan di gerai sekitar bandar Raub. Penggemarnya terdiri daripada kanak-kanak hinggalah kepada golongan orang dewasa yang tidak jemu menikmati kopi pelbagai pilihan dan perisa yang disukai dengan harga bermula RM3 hingga RM5 mengikut saiz bekas yang ditetapkan.
Menurut Mohd Fauzi, yang menjual ‘kopi kocok’, permintaan orang ramai semakin hari semakin bertambah. Hasil jualannya semakin memberangsangkan sejak mula beroperasi pada Oktober 2015.
Bagi Faziani Hamzah pula, beliau memulakan perniagaan kopi francais Five Jump dengan bermodalkan RM 3000.00 melalui pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Beliau komited dalam perniagaan kopi kerana hasil perniagaan ini boleh menampung kehidupan seharian.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Sue merujuk kepada keenakan dan keunikan rasa kopi sehingga menjadi kemestian baginya untuk mendapatkan perrsediaan kopi kegemarannya. Antara yang popular, termasuk kopi lattte, dan mocha.
Warung kopi sini rata-rata diusaha anak-anak muda yang mempunyai visi dan misi dalam menceburi kegiatan berkaitan ekonomi.