
Oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya) / Video: Syed Hisham Shah
KUALA KANGSAR, 7 Jun (Malaysiaaktif) –Seramai 40 pelatih terlibat dalam Program Latihan Praktikal Personel Binaan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) di Surau Ibtidiyah, Kampung Sungai Siput Hulu, di sini petang tadi.
Program ini antaranya mendedah dan memahirkan peserta dengan latihan amali membaik pulih surau tersebut sebagai kerja komuniti, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat tentang peluang latihan dan kerjaya dalam industri.
Semasa perasmian program ini, Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata program ia penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelatih kerana ia sebahagian daripada Program Khidmat Masyarakat (CSR) yang melalui tiga fasa.
“Pertamanya tempat-tempat yang memerlukan bantuan akan dikenalpasti, kemudian pelatih-pelatih akan dibawa menjalani amali, dan seterusnya melibatkan Persatuan Kontraktor Jentera Melayu Malaysia (PKJMM) dengan hasrat menjalin kerjasama di dalam bidang latihan pembinaan berimpak tinggi,” ujarnya kepada pemberita.