
Laporan /foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)
NABAWAN, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Pertandingan Bola Sepak Nabawan Champion Humayo Cup 2025 peluang keemasan buat anak-anak pedalaman serlahkan bakat dalam sukan bola sepak.
Penasihat Kelab Rakan Muda Nabawan, Salman Raspin berkata, pertandingan tersebut dianjurkan sebagai platform untuk mengembangkan potensi belia selain memupuk semangat kesukanan antara mereka.
Jelasnya acara tersebut disifatkan relevan kerana sukan bola sepak dilihat antara sukan paling popular di Daerah Nabawan yang mampu menarik minat ramai masyarakat untuk terlibat.
“Oleh itu, kami menganjurkan pertandingan ini sebagai usaha mencari bakat baharu, khususnya dalam kalangan belia yang ingin menjadikan bola sepak sebagai kerjaya professional.

Salman memberi taklimat ringkas format perlawanan semalam.
“Pendedahan awal melalui pertandingan seperti ini mampu mendidik dan membiasakan mental para pasukan dalam mendisiplinkan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus bermain secara profesional,” katanya ketika ditemui dalam sesi cabutan undian kumpulan Nabawan Champion Humayo Cup 2025 di Dewan Belia Nabawan di sini pada Ahad.
Untuk makluman Pertandingan Bola Sepak Nabawan Champion Humayo Cup 2025 adalah anjuran bersama Kelab Bola Sepak Humayo FC, Kelab Mintalang FC dan Nabawan FA (NAFA).
Tambah Salman, selain mengangkat sukan bola sepak tempatan, pertandingan ini juga berperanan sebagai motivasi kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Selain itu juga ,pertandingan ini mendidik seluruh masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan melibatkan diri secara lebih aktif lagi dalam bidang sukan khususnya melalui sukan bola sepak yang menjadi satu aktiviti signifikan dalam kalangan masyarakat pedalaman.
“Memandangkan pertandingan sebegini pertama kali dilaksanakan oleh pihak kelab dan merupakan pencapaian terbaharu untuk daerah Nabawan.
“Pihak kami berharap penganjuran ini akan menjadi batu loncatan dalam pencarian bakat-bakat baharu dan diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penglibatan serta tajaan daripada pelbagai pihak,” ujarnya.

Wakil Pengurus Pasukan Kalawon FC Rachel Yabab bersama borang pertandingan.
Untuk Makluman, Nabawan Champion Humayo Cup 2025 akan bermula pada 1 Februari 2025 di Kompleks Sukan Nabawan dengan penyertaan sebanyak 14 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.
Pasukan akan bersaing merebut hadiah utama RM5,000 untuk juara, RM3,000 untuk naib juara, dan RM1,800 untuk tempat ketiga.
-RJ-