
Laporan/foto: Hendry Nurdin/PUSPANITA Lahad Datu (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 27 Jan (MalaysiaAktif) –Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Lahad Datu bertekad menjadi persatuan berprestij melalui kebersamaan dan kerjasama antara anggotanya.
Pengerusi PUSPANITA Lahad Datu, Fara Riza Azizul Rahman berkata, persatuan tersebut perlu memandang jauh ke depan dan berupaya menjadi inspirasi kepada masyarakat.
Beliau berharap agar ahli PUSPANITA dapat bergerak ke arah yang lebih positif, dengan menampilkan kesatuan jiwa dan imej wanita yang anggun, bermaruah dan berketrampilan serta dapt bergerak seiring dengan perubahan zaman.
“PUSPANITA Lahad Datu selalu aktif dalam membantu program-program yang dianjurkan oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan dan berharap agar sumbangan mereka dihargai oleh masyarakat.
“Melalui PUSPANITA, kita tidak hanya berperanan dalam memperkukuh hubungan sesama wanita, tetapi juga memberikan sumbangan dalam pembangunan sahsiah dan kebajikan masyarakat secara keseluruhan.
“Ini adalah platform untuk kita semua berkembang bersama, menjalin kerjasama yang lebih erat, dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PUSPANITA Ke-36 di sini kemarin.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PUSPANITA, Mahasitah Amin, 62, percaya, visi yang dibawa oleh persatuan tersebut boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama erat ahlinya.
“Saya amat mengagumi semangat dan keazaman beliau untuk memperkasa peranan wanita, dan saya yakin dengan kepimpinan yang berwawasan, kita akan dapat merealisasikan segala impian dan cita-cita Puspanita.” ujarnya.

2. Firuz ketika ucapan dan amanat pembukaan kepada semua ahli PUSPANITA
Lahad Datu.
Terdahulu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa PUSPANITA memainkan peranan penting yang juga menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.
“Kehadiran wanita dalam setiap lapisan masyarakat memberikan kekuatan, dan dengan persatuan seperti PUSPANITA, kita akan lebih berjaya dalam mencapai matlamat bersama untuk Sabah yang lebih maju,” katanya.
Dengan seramai 229 ahli berdaftar, pada tahun 2025, PUSPANITA akan fokus pada memperkukuhkan kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi dengan pelbagai inisiatif khidmat masyarakat, selaras dengan peranan mereka sebagai pendukung sahsiah wanita di daerah Lahad Datu.
-RJ-