Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Anyaman Beg Rotan Terima Sambutan Luar Jangka

By 19 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Awangku Hamizan/Clarence Chin (Sarawak)

SUNGAI ASAP (BELAGA), 19 Feb (MalaysiaAktif) – Anyaman beg rotan antara produk kraf tangan yang tidak lapuk dek zaman.

Pengusaha kraf tangan Orang Ulu Jane Kiong, 52, telah membuat inovasi beg rotan bagi menaikkan nilai tambah produk seterusnya menyasarkan pasaran yang lebih meluas.

Siap sepenuhnya, dengan kadar RM80-RM100, pembeli boleh memiliki bag tangan rotan seperti yang diidami.

Walaupun baharu setahun jagung dalam perniagaan ini, namun tempahan yang Jane terima sangat memberansangkan.

Antara perkhidmatan yang Jane tawarkan adalah perkhidmatan pembuatan beg rotan secara tempahan khas dan membantu para pelanggannya kitar semula beg rotan terpakai.

Jelas Jane yang berasal dari Uma Badeng, di sini terdapat pelanggan yang datang membawa beg rotan lama untuk dijahit semula mengikut gaya dan cita rasa mereka.

“Kadang-kadang pelanggan akan memberi contoh ataupun menunjukkan gambar dan meminta saya membuat sesuai permintaan mereka.

“Ada juga pelanggan yang datang membeli beg rotan yang telah siap sedia di kedai saya, sama ada untuk dijadikan cenderamata atau untuk kegunaan sendiri,” katanya semalam.

Katanya, kadar perkhidmatan yang dikenakan adalah antara RM80 ke RM100 bagi setiap beg, bergantung kepada rekaan yang diminta.

Jane menyiapkan tempahan yang diterima dari sebuah syarikat swasta untuk dijadikan cenderamata.

“Inovasi saya adalah mengabungkan beg rotan dengan kulit agar ia tampil lebih mewah dan tahan lebih lama,” katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakkan beg yang dihantar kepadanya adalah daripada masyarakat Penan dari kawasan pendalaman.

“Beg yang dihasilkan oleh mereka akan diperbaiki, dijahit semula dan ditambah dengan elemen reka bentuk sebelum dijual kepada pelanggan,” kata Jane yang pernah mendapat bantuan peralatan mesin jahit daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pada tahun lepas.

Menurutnya lagi, proses pembuatan beg mengambil masa sekitar satu hingga dua hari, bergantung kepada saiz dan kerumitan reka bentuk.

-ZS-

Tinggalkan komen anda