
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Setiap kali tibanya bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan menunaikan zakat fitrah sebagai tanda penyucian jiwa serta membantu golongan yang memerlukan.
Dalam memastikan zakat fitrah dikutip dan diagihkan dengan lancar, peranan amil zakat menjadi amat penting.

Menunaikan tanggungjawab sebagai amil kepada salah seorang pembayar zakat fitrah.
Siee Materang, 75, yang lebih 10 tahun berkhidmat sebagai amil zakat fitrah di bawah Tabung Baitulmal Sri Aman, menekankan kepentingan menunaikan zakat fitrah tepat pada waktunya.
Menurutnya, pembayaran awal bukan sahaja mengelakkan kesesakan pada saat akhir tetapi juga membantu mempercepatkan proses pengagihan kepada golongan asnaf.
Katanya, kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan sebanyak RM7.50 pada tahun ini adalah jumlah yang mampu dibayar oleh masyarakat Islam dan seharusnya ditunaikan seawal mungkin.

Siee Materang (kiri) ketika ditemui semalam.
“Selaras dengan perkembangan teknologi, kini terdapat pelbagai kaedah pembayaran, termasuk secara tunai dan digital bagi memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Bandar Sri Aman, lokasi beliau bertugas setiap Ramadan, semalam.
Menyentuh tentang peranannya sebagai amil zakat fitrah, Siee menjelaskan bahawa tanggungjawabnya tidak terhad kepada mengutip zakat semata-mata tetapi juga memastikan pengagihannya dilakukan dengan adil dan mengikut syarak.
“Menguruskan zakat merupakan satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT dan para amil perlu menjaga integriti dan ketelusan dalam pengagihan harta zakat bagi memastikan ia sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” ujarnya.
-ZS-