Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Program Komuniti MADANI, Didik Masyarakat Ambil Berat Isu Kejiranan

By 14 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI Kemasyarakatan wajar dijadikan platform untuk mendidik masyarakat menjadi lebih bertimbang rasa dan bersikap ihsan terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Amalan bekerjasama seperti gotong-royong memasak bubur lambuk semasa bulan Ramadan perlu diterjemahkan dalam pelbagai konteks program yang boleh dianjurkan secara konsisten bersama komuniti setempat.

Pengagihan bubur lambuk kepada penduduk Kampung Kijang Merotai, Tawau.

Penyelia Kemajuan Masyarakat Merotai, Asis Bakri, berkata program yang melibatkan masyarakat pelbagai umur dan latar belakang itu menjadikan sesebuah komuniti itu lebih sejahtera serta cakna dengan isu di kejiranan masing-masing.

“Program seperti gotong-royong selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Ia memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi dan mempereratkan silaturahim.

“Aspek kerjasama dan perpaduan seperti ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan progresif, ia juga memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Kampung Kijang Merotai, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Tawau Azuary Abdul Azis, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pemimpin tempatan bagi menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan yang berimpak tinggi.

Penduduk kampung bergotong-royong memasak bubur lambuk sempena program Jiwa@Komuniti MADANI Kemasyarakatan di Kampung Kijang Merotai, Tawau.

“Program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat tetapi juga memastikan penyebaran maklumat yang sahih kepada penduduk luar bandar.

“Pejabat Penerangan memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi selain membolehkan kami berinteraksi secara langsung dengan penduduk,” ujarnya.

Untuk makluman program anjuran Pejabat Penerangan Tawau tersebut di Kampung Kijang Merotai tersebut menyaksikan penglibatan aktif penduduk kampung dalam pelbagai aktiviti, termasuk gotong-royong memasak bubur lambuk dan sesi penerangan dasar kerajaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda