
Laporan/foto: Victor Blasius/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Keterujaan merasai nikmat berbuka puasa atau sungkai menjadi pendorong kepada anak muda Alvin Mark Marius, 20, untuk mencuba berpuasa semasa bulan Ramadan.

Alvin (tengah) ketika membantu rakan-rakan menyediakan minuman untuk berbuka puasa.
Pelajar jurusan Diploma Pengurusan Hotel Politeknik Kota Kinabalu itu berkata, tidak hanya menahan lapar dan dahaga, berpuasa mengajarnya untuk lebih berdisiplin serta bersifat empati terhadap orang lain.
Tambah Alvin, puasa juga membentuk kekuatan dalaman untuk lebih bersabar dalam mendepani cabaran dengan nikmat iftar yang hanya boleh dirasai oleh orang yang berpuasa.
“Walaupun ada cabaran yang ditempuhi, pengalaman ini memberikan pengajaran berharga mengenai kawalan diri, empati dan penghargaan tentang kehidupan.
“Setakat ini saya berjaya berpuasa selama empat hari dan ingin berpuasa penuh selama sebulan pada tahun akan datang,” katanya ketika ditemui dalam Program Jiwa@Komuniti Program Kemasyarakatan di Politeknik Kota Kinabalu pada Sabtu.

Gwendolynne sedang menyediakan makanan untuk berbuka puasa kemarin.
Berbeza bagi Gwendolynne Gadung Pagag, 19, beliau teruja setibanya bulan Ramadan kerana beliau berpeluang membantu rakan-rakan pelajar Islam untuk menyediakan juadah berbuka puasa.
“Ini adalah pengalaman pertama saya dalam menyertai program seperti ini, memandangkan saya tahu mereka sedang berpuasa maka saya berusaha upaya membuat kerja yang lebih banyak berbanding mereka.
“Saya berpendapat bahawa hidup berbilang kaum dan agama, sangat penting untuk kita saling memahami dan menghormati setiap adat serta kepercayaan agama masing-masing,” ujarnya.
-RJ-