
Laporan/Foto: Regina Lasia/Mohammad Amin (Sarawak)
TELANG USAN, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Dalam usaha memperkukuh hubungan serta meningkatkan kesedaran masyarakat, Program JIWA@Komuniti Sembang Santai anjuran daripada Pejabat Penerangan Daerah (JAPEN) Telang Usan bukan sahaja membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat, tetapi juga memperkukuh hubungan sosial antara peserta.
Melalui interaksi yang lebih terbuka, masyarakat berpeluang untuk bertukar pandangan, menyampaikan aspirasi mereka serta bekerjasama dalam membangunkan komuniti yang lebih dinamik dan progresif.
Salah satu agenda utama program ini adalah perbincangan mengenai pelaksanaan Program Komuniti MADANI, yang bertujuan untuk memperkasakan masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti yang dirancang.

Penghulu Desmond (kiri sekali) turut hadir ke perbincangan pelaksanaan Program Komuniti Madani di sini semalam.
Dalam ucapan Penghulu Desmond Yap Cheng Siang, 59, yang juga ketua komuniti MADANI Long Lama menekankan kepentingan perpaduan dalam komuniti serta peranan setiap individu dalam memastikan kesejahteraan bersama.
“Saya menggesa masyarakat di sini agar bergiat aktif dalam setiap program yang dianjurkan bersama Komuniti MADANI kerana penyertaan aktif masyarakat akan memastikan keberkesanan dan kejayaan setiap inisiatif yang dilaksanakan,” katanya semalam.
Dalam era digital yang semakin berkembang, keselamatan dalam talian menjadi satu keutamaan. Oleh itu, ceramah mengenai Keselamatan Dalam Talian Dan Memperkenalkan Chatbot AIFA yang telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Telang Usan, Jua Daud, yang memberikan penerangan tentang ancaman siber yang kian meningkat dan langka.
-RJ-