
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki senjata berbahaya, dadah dan memandu kenderaan yang dilaporkan hilang dalam operasi khas di kawasan Sungai Sepiring, Jalan Sibu-Bintulu, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan pada 11 pagi, semalam itu turut merungkai kaitan suspek yang merupakan penganggur berusia 43 tahun dengan beberapa kes kecurian kenderaan, khianat dan pemilikan senjata api di Mukah serta Bintulu.
“Polis telah menjalankan serbuan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Sungai Sepiring dan berjaya menahan suspek yang berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta jenis Proton Iswara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, suspek yang bertindak agresif ditahan dengan kekerasan minimum manakala dua individu bersamanya melarikan diri ke hutan berhampiran.
“Semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Bintulu pada tahun 2025 dan pemeriksaan menemukan sebilah pedang samurai 70 sentimeter di dalamnya,” katanya.
Selain itu, beg silang suspek didapati mengandungi satu paket plastik lut sinar serta keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 6.92 gram dan dia turut positif amphetamine serta methamphetamine.
Kesemua barang dirampas untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Muhamad Rizal berkata suspek kini direman tiga hari hingga Jumaat dan polis meminta orang awam menyalurkan maklumat bagi mengesan dua suspek yang masih bebas.
-RJ-






