
Laporan/foto: Kalaimani Munian (Kinta)
IPOH, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Pasar Raya Mydin, Segi Fresh, Pasar Raya MS Hari, AEON telah menganjurkan Jualan Rahmah di Bangunan Persekutuan Ipoh, di sini semalam.
Menurut Penyelia Pasaraya M.S. Hari Nurul Muhammad, melahirkan rasa teruja dengan sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan.

Aneka biskut dan kuih raya turut dijual di Jualan Rahmah.
“Setakat ini, pelanggan sangat bersyukur dan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan terutama barangan keperluan yang cepat habis ialah beras, minyak, gula dan telur,” katanya.
“Jualan Rahmah ini memberi pelbagai manfaat kepada penduduk, terutamanya dapat membantu mereka berjimat dalam perbelanjaan persiapan hari raya dengan harga barangan yang lebih rendah, mereka dapat memperoleh keperluan asas tanpa membebankan kewangan mereka.
“Malah inisiatif ini turut menyokong peniaga tempatan dengan memberi mereka peluang memasarkan produk kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.
Tambah Muhammad lagi, selain barangan asas, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pakaian dan kuih raya daripada usahawan tempatan sekali gus menjadikan program ini platform terbaik untuk membuat persiapan hari raya pada harga yang lebih berpatutan.
Penjawat awam Aisyah Muhammad, 39, meluahkan rasa bersyukur atas penganjuran program ini.
“Harga yang murah sangat membantu kami yang akan menyambut raya tidak lama lagi.

Suasana pengunjung tiba awal di lokasi Jualan Rahmah.
“Terima kasih banyak kepada pihak KPDN yang menganjurkan Jualan Rahmah ini dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Suri rumah Suhana Abdullah, 52, turut berkongsi pengalamannya.
“Saya sudah dua kali datang membeli kerana harga barangan yang dijual sangat murah,” katanya.
Selain itu, kaunter bergerak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut serta dalam program ini dengan menawarkan diskaun 70 peratus kepada pengunjung yang ingin membayar saman meletak kenderaan.
-ZS-