Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Libatkan Belia Dalam Aktiviti Kemasyarakatan, Bentuk Jati Diri

By 26 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Mahathir Abdul Halif/Media Skuad Antidadah Daerah Telupid (Telupid)

TELUPID, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Para belia perlu sentiasa diberi keutamaan dalam pelaksanaan sesebuah program terutama melibatkan aktiviti kemasyarakatan.

Bersempena Bulan Ramadan, aktiviti seperti penyediaan bubur lambuk dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Emmanuel (baju biru) mengedar bubur lambuk sambil menyampaikan risalah mengenai pendaftaran Skuad Antidadah kepada komuniti setempat kemarin.

Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Telupid, Emmanuel Atin percaya, aktiviti yang mengangkat peranan belia akan membentuk nilai solidariti dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan mereka terhadap komuniti.

“Kami percaya belia adalah agen perubahan yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

Program ini turut menunjukkan bahawa apabila belia, agensi, dan masyarakat bersatu, perubahan positif dapat dicapai.

“Diharap program kemasyarakayan seperti ini akan terus berkembang untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat, khususnya belia yang menjadi tulang belakang masa depan Negara,” katanya semasa Program Belia Bersama Masyarakat-Penyediaan Bubur Lambuk di Masjid Jamek Yusuf Al-Qardhawi, Pekan Telupid di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Agensi Antidadah Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim menegaskan, belia perlu diberi peluang untuk memainkan peranan dalam sesebuah komuniti sebagai usaha membentuk generasi yang bertanggungjawab.

“Langkah ini merupakan usaha dalam membentuk generasi muda yang bertanggungjawab dan bebas daripada pengaruh negatif, diharapkan program ini dapat menjadi platform untuk belia meningkatkan peranan mereka dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Felix (tiga dari kiri) bersama komuniti Masjid Jamek Yusuf Al-Qardhawi menyerahkan bubur lambuk sebagai tanda keprihatinan dan semangat perpaduan.

Manakala Pengerusi Persatuan Peniaga Telupid Sabah, Felix Joseph Saang berhatap, agar program seumpamanya diteruskan demi kemaslahatan sejagat.

“Melalui program ini pelbagai agensi dan komuniti dapat bekerjasama dengan erat, diharap inisiatif seperti ini dapat diperluaskan di masa hadapan demi memberi ruang kepada belia untuk memperkasa diri mereka dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Selain memasak bubur lambuk, program yang dianjurkan di peringkat komuniti ini turut dimeriahkan dengan pameran Anti Dadah serta ceramah kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda