
Laporan/foto: Abdul Hadi Bin Abdul Ghani/Abdul Muluk Bin Mohd Yusup (Semporna)
SEMPORNA, 10 Apr (MalaysiaAktif) – Langkah untuk mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan malah juga perlu lebih diperkasa diperingkat komuniti.

Edaran risalah AIFA bagi membantu masyarakat lebih peka terhadap isu-isu semasa yang melibatkan penyebaran maklumat tidak sahih.
Justeru pelbagai program di peringkat akar umbi boleh dilaksanakan dengan memfokuskan kepada empat dimensi utama iaitu karib, aksesibiliti, majmuk dan inklusiviti.
Pengerusi Komuniti Madani Kampung Balimbang, Abdul Muluk Mohd Yusup berkata, elemen ini penting bagi membina hubungan dan meraikan kepelbagaian sekali gus memastikan tiada pihak terpinggir dalam usaha membina masyarakat harmoni.
“Dengan matlamat mengukuhkan semangat kesatuan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat, Program Komuniti Madani Penyatuan Rumpun Keluarga Kg. Berjasa mengangkat nilai-nilai Keluarga Madani sebagai asas penyatuan.
“Melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan beberapa keluarga utama, ia tidak hanya memfokuskan kepada hubungan yang lebih rapat antara individu, tetapi juga kepada penyediaan saluran akses yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui semasa Program Komuniti Madani Penyatuan Rumpun Keluarga Kg. Berjasa di Kampung Balimbang, Pulau Bum-Bum di sini pada Selasa.
Program anjuran Komuniti Madani Kampung Balimbang ini melibatkan penyertaan seramai 250 dari keluarga Buaya, keluarga Bayau, keluarga Rambuana dan keluarga PG Abdul Main.

Ruhulan sambil memegang bahan penerbitan AIFA yang diedarkan kepada penduduk setempat kemarin.
Salah seorang penduduk, Ruhulan Tanjilun, 60, percaya, program yang menyatukan pelbagai latar belakang dan garis umur ini menyediakan ruang untuk setiap komuniti berinteraksi.
“Usaha ini penting dalam membina pemahaman yang lebih mendalam tentang perpaduan, meskipun membentuk kesatuan dalam masyarakat yang pelbagai bukanlah sesuatu yang mudah, ia adalah proses yang memerlukan komitmen berterusan dari semua pihak.
“Perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa yang singkat, ia memerlukan usaha yang berterusan dan iltizam daripada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Program yang juga diadakan bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini turut menyediakan jamuan raya di samping mengedarkan bahan penerbitan dengan pelbagai maklumat serta program semasa kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
-RJ-