
Laporan/foto: Nik Noor Fatin Fatihah Nik Hasri/Nur Izzah Insyirah Mamat (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 10 Apr (MalaysiaAktif) – Apam balik bukan lagi sekadar hidangan tradisional biasa apabila Apam Balik D’Warisi di Pasar Payang tampil dengan 17 perisa menarik yang memikat selera pelanggan pelbagai peringkat usia.

Shuhadawati mewarisi perniagaan apam balik daripada bapa mertuanya yang mula beroperasi di pasar payang sejak 2018.
Menurut pengusahanya Shuhadawati Mustafa, 45, perniagaan yang diwarisi daripada bapa mentuanya itu telah dijalankan hampir dua dekad dan mula beroperasi di Pasar Payang sejak tahun 2018.
“Saya memang minat berniaga, jadi apabila diberi peluang untuk meneruskan legasi keluarga, saya kembangkan lagi produk ini dengan memperkenalkan pelbagai perisa seperti coklat, keju, jagung dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Menariknya, walaupun berlaku kenaikan kos bahan mentah, Shuhadawati tetap mengekalkan harga jualan demi kepuasan pelanggan.

Apam Balik D’Warisi di Pasar Payang tampil dengan 17 perisa menarik yang memikat selera pelanggan pelbagai peringkat usia.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Saya berharap Apam Balik D’Warisi terus menjadi pilihan pengunjung Pasar Payang,” katanya.
Dengan keunikan rasa dan sentuhan tradisi yang dikekalkan, tidak hairanlah Apam Balik D’Warisi terus mendapat tempat di hati penggemar makanan tradisional.
-ZS-