
Oleh: Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 1 Julai (Malaysiaktif) –? Tiada siapa di dunia ini yang mampu bertahan jika hidup tanpa rasa kasih sayang. Baik kasih sayang daripada Yang Maha Pencipta, sesama manusia, apatah lagi dalam kalangan keluarga.
Malah, masalah kasih sayang dalam keluarga juga berupaya menyebabkan segelintir individu memilih untuk hidup sebagai gelandangan.
Golongan itu lebih rela tidur beralaskan kepingan kotak, berbantalkan susunan beberapa helai pakaian usang, berselimutkan embun dan berbumbungkan langit.
Premis perniagaan, kerusi dan di bawah pokok khususnya di kawasan pusat bandar raya juga dijadikan tempat menghilangkan lelah serta melelapkan mata pada waktu malam.
Jainal Nasip Ondog , 68, berasal dari Kg Tambalugu Tuaran, nekad meninggalkan rumahnya sejak tiga minggu lalu akibat fikiran yang sering terganggu dengan karenah empat anak yang tidak pulang sejak lima tahun lalu.
Jiwanya bertambah tertekan apabila peralatan membaiki kasut dirampas oleh Penguat Kuasa Dewan Bandarraya Kota Kinabalu (DBKK) ekoran tidak mengikut peraturan terutama di kawasan Deasoka.
“Saya sunyi tinggal seorang diri di rumah, anak-anak sudah tidak pulang menjenguk saya sejak lima tahun lalu. Mereka juga jarang menghubungi saya walaupun saya ada telefon bimbit dan ini membuat saya sangat berkecil hati.
“Adik beradik saya ramai sudah meninggal dunia, jika ada pun tidak semua hati manusia itu sama. Kadang kala saya rasa saya sudah tidak diperlukan lagi di kampung.
“Bagi saya, berada di tengah bandar raya ini bersama rakan-rakan membuat saya lebih tenang walaupun perut kadang-kadang kosong.
“Saya juga tidak dapat berpuasa kerana makanan saya tidak menentu, hanya bergantung kepada baki yang ada dan ihsan daripada rakan-rakan.
“Dahulu saya membawa teksi tetapi saya tidak mampu membayar sewa RM30 tidak termasuk kos petrol dengan pendapatan yang tidak seberapa. Jadi, saya berhenti dan menjalankan kerja sebagai tukang kasut.
“Malangnya, peralatan saya dirampas oleh penguat kuasa DBKK kerana tidak mengikut peraturan. Perkara ini membuat saya tertekan,” kata Jainal.
Sempena bulan Ramdan, Ketua Pemuda Umno Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah terpanggil membuat tinjauan di sekitar pusat bandar raya pada Rabu, untuk menyingkap kisah kehidupan gelandangan.
Menurutnya, program tersebut dirancang khas untuk dilaksanakan pada Ramadan untuk menyuburkan silaturahim serta kasih sayang sesama insan dan misi yang lebih penting ialah memujuk mereka agar pulang ke pangkuan keluarga supaya masalah sosial dapat dielakkan.
“Kita beranggapan gelandangan ini juga insan yang istimewa. Pada bulan Ramadan yang baik ini kita menghulurkan sedikit bantuan antara satu sama lain.
“Saya lihat gelandangan di KK ini tidaklah seteruk gelandangan di tempat yang lain. Berdasarkan temu bual saya dengan mereka, jelas mereka ini rasa tersisih dalam keluarga sendiri dan mereka perlu dibantu dari segi sokongan moral, motivasi dan aspek keagamaan.
“Cara kita bantu adalah dengan mengenal pasti apakah masalah mereka dan kita rujuk dengan jabatan atau agensi yang berwajib seperti JPKA dan sebagainya,” katanya kepada media.
Bahrin juga berkata, pihaknya akan meneruskan program berkenaan pada masa akan datang untuk membendung gejala tersebut melalui kerjasama dengan pihak jabatan, agensi dan badan-badan bukan kerajaan agar masalah yang dihadapi gelandangan dapat diselesaikan serta-merta.
SF