
Laporan/foto: Farehah Ahamad (Raub)
RAUB, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Kompleks Rakan Muda Dong terus menjadi pusat tumpuan anak muda dan komuniti setempat dengan pelbagai kemudahan fasiliti yang ditawarkan di sini.

Kompleks Rakan Muda Dong menjadi pilihan untuk penganjuran pelbagai aktiviti sukan.
Menurut Penyelaras Kompleks Rosshazelan Sulaiman, fasiliti ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan sering menjadi lokasi utama bagi penganjuran program belia, bengkel kemahiran serta kejohanan sukan tempatan.
“Kompleks ini bukan sahaja menyediakan ruang fizikal, tetapi turut menjadi platform pembangunan potensi belia dalam pelbagai bidang dan sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama dari pelajar, persatuan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif hari ini.
Dengan adanya kemudahan ini, pihak pengurusan berharap lebih banyak aktiviti komuniti dapat dijalankan secara berterusan demi memupuk perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

Antara kemudahan yang disediakan adalah dewan serbaguna, gelanggang futsal dan gelanggang badminton.
Kompleks ini dibina bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan belia serta memperkasakan aktiviti sukan, seni dan budaya.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah dewan serbaguna, gelanggang futsal, gelanggang badminton, bilik mesyuarat serta ruang latihan bagi aktiviti seni dan keusahawanan.
-ZS-