
Laporan/foto: Noor Sazarina/Mohd Nizam (Petaling)
KOTA DAMANSARA, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Subang Perdana 2 mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah dengan penuh kesyukuran, semangat kebersamaan dan ukhuwah menerusi Program JIWA@Komuniti Madani Subang Perdana 2 Sembang Santai di Dewan KRT Pangsapuri Subang Perdana 2, di sini hari ini.

Sesi melapah dan membungkus daging korban oleh ahli Komuniti MADANI Subang Perdana 2 dan sukarelawan.
Ketua Komuniti MADANI Subang Perdana 2 Abdul Aziz Moiden, berkata Aidiladha bukan sekadar perayaan tetapi menjadi pengajaran tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan tanggungjawab sosial.
“Sambutan ini bukan sahaja memperingati peristiwa agung pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s tetapi juga memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama kita.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai usaha memperkukuh silaturrahim dan menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dengan penuh komitmen.
Program dimulakan seawal pagi dengan ibadah korban yang disertai oleh ahli Komuniti MADANI Subang 2 dan sukarelawan setempat.
Daging korban diagihkan kepada ibu tunggal, warga emas, golongan memerlukan serta penduduk setempat sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras masyarakat Madani.

Abdul Aziz di sesi bergambar penyampaian sumbangan beras dan daging korban.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan beras, diikuti sesi sembang santai dan jamuan mesra yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh kekeluargaan dan kasih sayang.
Turut hadir wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan penduduk setempat menyerlahkan sokongan padu terhadap program berteraskan kebajikan dan perpaduan ini.
Sambutan ini membuktikan bahawa Aidiladha bukan hanya dirai dengan ibadah tetapi juga dengan semangat kebersamaan yang memperkukuh asas sebuah masyarakat harmoni.
-ZS-