
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Program Cabaran Troli Isyarat Pengguna anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kuala Kangsar di Pasaraya TF Value Mart, Sungai Siput, di sini kelmarin berupaya meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak, amalan pembelian, saluran aduan dan perbandingan harga.

Program ini melatih individu pekak untuk menjadi duta kepenggunaan bagi komuniti mereka sebagai penyampai maklumat kepenggunaan.
Menurut Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail, tujuan utama penganjuran program ini adalah bagi memperkasa ilmu kepenggunaan dalam komuniti pekak agar dapat membuat keputusan sebagai pengguna yang bijak dalam urus niaga seharian.
“Kerjasama strategik yang pertama kali diadakan bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Perak (PESDeaf) bukan saja menunjukkan keterangkuman sosial, malah memperkukuh kerjasama antara KPDN dan komuniti pekak dalam menjayakan agenda kepenggunaan ‘Suara Anda Kami Dengar’,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis.

Lam Wai Hoong berucap sambil dibantu penterjemah, Nor Azah Ahmad, guru Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar.
Sementara itu, Presiden PESDeaf Lam Wai Hoong dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas usaha KPDN menganjurkan program ini selain berusaha mempelajari bahasa isyarat agar lebih mudah berkomunikasi untuk membantu komuniti pekak yang memerlukan bantuan.
“Saya juga ingin berkongsi program ini amat membantu komuniti kami kerana ada antara kami yang pernah menjadi mangsa tipu ketika membeli barangan dan makanan selain penipuan timbang berat serta peniaga menaikkan harga barangan,” katanya ketika berucap dengan bantuan penterjemah.
Terdahulu, sebanyak 10 kumpulan menyertai pertandingan Cabaran Troli Isyarat Pengguna dengan setiap kumpulan disertai oleh dua peserta dalam komuniti pekak dan mereka ditugaskan untuk membeli barangan dengan nilai keseluruhan RM50 dalam masa sejam.
Untuk rekod, program ini julung kali diadakan antara KPDN dan golongan pekak di Malaysia.
-ZS-