
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Sektor pertanian di negeri Perlis menunjukkan tanda positif peningkatan penyertaan golongan belia.
Pengarah Perangkaan Negeri Perlis Hamka Ismail berkata bagi Pecahan Kumpulan Umur majoriti pengusaha pertanian di Perlis berumur 50 tahun dan ke atas iaitu 15,401 orang, diikuti lingkungan 31 hingga 45 tahun dengan 3,039 orang, dan bawah 30 tahun seramai 399 orang.
“Statistik ini menunjukkan sebahagian besar pengusaha terdiri daripada generasi lebih berpengalaman, namun penyertaan golongan muda juga semakin meningkat,” katanya.

Gerak kerja DOSM Perlis bagi menjayakan Banci Pertanian 2024.
Hamka berkata demikian dalam pembentangan rasmi Dapatan Banci Pertanian 2024 peringkat Perlis pada Sesi Majlis Peluncuran Laporan Interim Negeri Perlis, di sini pagi semalam.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan statistik terbaharu mengenai profil pegangan pertanian individu di negeri Perlis berdasarkan dapatan awal Banci Pertanian 2024.
Dalam pembentangan yang dihadiri 150 orang pemegang taruh dalam industri berkaitan, Hamka turut memberi gambaran ringkas tentang demografi serta latar belakang pengusaha pertanian yang menjadi tulang belakang sektor makanan negeri berkenaan.
“Daripada 18,839 pengusaha yang direkodkan, sebahagian besar adalah warganegara Malaysia seramai 18,838 orang, manakala bukan warganegara hanya satu orang.
“Dari segi jantina pula, lelaki masih mendominasi sektor pertanian negeri dengan 14,422 orang, sementara wanita pula seramai 4,417 orang,” katanya.
Komuniti Melayu pula katanya merupakan kumpulan terbesar iaitu 17,150 orang, diikuti Cina (951 orang), India (215 orang) dan etnik lain (522 orang) sekali gus mencerminkan kepelbagaian penyertaan masyarakat pelbagai bangsa dalam sektor berkenaan.
“Secara keseluruhan, Guna Tenaga Sektor Pertanian turut merekodkan penggunaan tenaga kerja dalam sektor pertanian negeri Perlis seramai 19,890 secara keseluruhan,” katanya.

Datuk Sri Dr. Mohd Uzir memberi ucapan pembukaan pada Majlis Peluncuran tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya (Teknikal) Banci Pertanian 2024 Negeri Perlis berkata statistik berkenaan penting untuk membantu kerajaan merancang pelbagai inisiatif pembangunan serta bantuan bersasar kepada pengusaha pertanian, termasuk peningkatan kemahiran, bantuan kewangan dan pembangunan infrastruktur.
“DOSM menyeru semua pengusaha terus memberi kerjasama dalam bancian untuk memastikan data yang diperoleh adalah tepat dan menyeluruh demi kemajuan sektor pertanian negeri Perlis,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal) merangkap Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Nazaria Baharudin dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis Saharuddin Sarwan.
-FN-