
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Negeri Kedah telah bermula secara rasmi semalam dengan penuh semangat patriotik dan suasana yang meriah.

Nurazila Azizan sedang membuat pelepasan peserta konvoi.
Acara pelepasan konvoi pada pukul 10 pagi di perkarangan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Kedah dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Turut serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pos Malaysia serta rakan strategik kelab permotoran iaitu Kelab Motosikal BMW dan Kedah DG Bikers dengan kesemuanya membawa misi mempergiatkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah Nurazila Azizan, konvoi berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, malah bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara agensi dan masyarakat di setiap destinasi yang dilalui.
“Hari ini merupakan hari pertama Konvoi KMJG 2025 Peringkat Negeri Kedah bermula di perkarangan JAPEN Kedah dan menuju ke pitstop pertama di C-Mart Serai Wangi, Padang Serai, Kulim bagi menerima penyerahan jalur gemilang dari JAPEN Pulau Pinang,” katanya.

Gambar kenangan bersama peserta KMJG 2025 Kedah.
Konvoi KMJG 2025 akan meneruskan perjalanan merentasi beberapa daerah utama di Kedah dengan pelbagai pengisian seperti pengedaran Jalur Gemilang, persembahan kebudayaan, aktiviti bersama komuniti dan pameran kenegaraan.
Inisiatif tahunan ini menjadi salah satu platform penting dalam menyemai nilai cintakan negara khususnya dalam kalangan generasi muda.
Kehadiran orang ramai di lokasi penyerahan di C-Mart Serai Wangi, Kulim juga mencerminkan komitmen masyarakat negeri ini terhadap usaha menyemarakkan semangat kebangsaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
-RI








