Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Paskal Cilik Dari Tanjung Malim Hidupkan Raptai Hari Kebangsaan 2025

By 29 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Kelibat seorang kanak-kanak lelaki yang berpakaian seragam tentera mencuri perhatian orang ramai untuk bergambar dengannya pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

Lengkap dengan senjata mainan dan bercermin mata hitam serta berpelitup muka, gelagat Muhammad Rizq Iman Abd Rashid, 7, itu ternyata membuatnya tampil berbeza daripada pengunjung lain khususnya kanak-kanak seusianya pada raptai tersebut.

Gelagat kanak-kanak berusia tujuh tahun, Muhammad Rizq Iman Abd Rashid yang lengkap berpakaian seragam komando laut mencuri perhatian pengunjung pada sesi raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini.

Lebih mengagumkan, walaupun telah membuat perjalanan seawal 7.30 pagi dari Tanjung Malim, Perak dengan menaiki kereta api untuk ke situ, cuaca panas sama sekali tidak menghalang anak bongsu daripada empat beradik itu beraksi persis seorang perwira negara.

Ibunya, Maslinda Othman, 43, berkata beliau tidak memaksa anaknya berpakaian sedemikian sebaliknya mencadangkan perkara itu kepada Rizq sebelum usul tersebut disambut baik anak lelakinya itu.

“Ini bukan kali pertama dia tampil berpakaian sebegini. Sebelum ini dia menggayakan seragam komando darat ketika berusia lima dan enam tahun.

“Tapi, bila saya ajak dia saksikan raptai ini yang juga kedatangan pertama kalinya ke sambutan Hari Kebangsaan, dia berminat untuk menyarung seragam keramat komando laut pula,” katanya kepada MalaysiaAktif, hari ini.

Maslinda berkata anaknya itu sangat gemar menonton filem ‘Paskal’ bahkan ketika ditanya penulis apakah cita-citanya, Rizq spontan menjawab- “Saya nak jadi macam Paskal”.

Orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar Muhammad Rizq Iman Abdul Rashid yang lengkap berpakaian komando laut.

Justeru, ibunya sama sekali menolak tepi soal kos yang dikeluarkan iaitu kira-kira RM500 untuk melengkapkan penampilan anaknya itu, kerana ternyata suri rumah itu mahu sentiasa menyokong impian anak bongsunya itu.

Hal ini kerana, beliau dan suaminya, Abd Rashid Zainuddin, 42, sedar bahawa ia merupakan salah satu cara memperkukuh semangat patriotik dalam jiwa anaknya sekali gus menjadikan Rizq seorang yang tahu untuk mencintai negaranya sedari usia kecil.

Bahkan, Maslinda juga sudah mula memikirkan seragam dari pasukan keselamatan manakah yang akan digayakan anaknya itu pada sambutan Hari Kebangsaan tahun hadapan.

Sementara itu, pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan Proton City itu ternyata seronok apabila berpeluang berpakaian mirip anggota tentera yang dilihatnya hari ini, lantas membuatnya merasa seolah-olah menjadi sebahagian daripada mereka.

“Saya rasa gembira dan bersemangat,” katanya ringkas.

Bertemakan “Malaysia MADANI/ Rakyat Disantuni” sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan di Putrajaya pada Ahad ini manakala Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

-FN-

Tinggalkan komen anda