Skip to main content
Berita TempatanSabah

Surau, Fasiliti Kondusif dan Pemandangan Indah Tarikan Bukit Maragang

By 3 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Mohd Zulkarnain Mantaim (Ranau)

RANAU, 3 Okt (MalaysiaAktif)– Pendaki yang beragama Islam tidak perlu khuatir sekiranya ingin menunaikan solat subuh semasa menyertai aktiviti pendakian pakej pemandangan matahari terbit di Bukit Maragang, Kundasang yang berketinggian 2,232 meter dari paras laut.

Antara pendaki menunaikan solat Subuh di surau yang disediakan META untuk pendaki bergama Islam.

Persatuan Ekopelancongan Mesilou (META) yang menguruskan laluan Bukit Maragang telah membina sebuah surau lengkap dengan fasiliti asas bagi memenuhi keperluan ibadah pendaki beragama Islam.

Pemandu Pelancong Tualang Tiga, Mohd Nor Faezin Matseri berkata pembinaan surau berkenaan sangat bermanfaat untuk keperluan pendaki kerana aktiviti pendakian biasanya bermula seawal jam 2.30 pagi.

“Surau ini salah satu fasiliti yang paling penting untuk pendaki memandangkan kebanyakan pendaki ke Bukit Maragang adalah Muslim. Surau ini sangat memudahkan mereka untuk menunaikan solat kerana turut disediakan tempat berwuduk selain pengasingan ruang untuk lelaki dan wanita.

Pemandu Pelancong, Mohd Nor Faezin merakamkan gambar kenangan bersama pendaki yang lain di puncak Bukit Maragang.

“Kita mula mendaki awal pagi agar pendaki dapat menyaksikan pemadangan matahari terbit yang indah dari Bukit Maragang serta berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Ada ketikanya pendaki dapat merakamkan pembentukan awan karpet di gunung berkenaan,” katanya semasa aktiviti pendakian ke Bukit Maragang, di sini pada Ahad.

Bukit Maragang katanya kini menjadi antara destinasi tumpuan industri ekopelancongan di daerah Ranau dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Untuk Tualang Tiga, setakat ini setiap minggu kami terima tempahan penuh daripada pelancong tempatan yang mahu mendaki Bukit Maragang termasuk pendaki dari Eropah dan China,” katanya.

Mohd Zulkarnain (dua dari kiri) sedang melakukan proses pendaftaran di Pejabat Pendaftaran Bukit Maragang, Kg. Mesilou Kundasang, Ranau.

Salah seorang pendaki, Mohd Zulkarnain Mantaim, 29, dari Sarawak berkata kemudahan yang disediakan di kawasan pendakian amat memudahkan pengunjung, termasuk laluan tangga yang kukuh dan selamat serta surau lengkap dengan tempat wuduk, sejadah dan bekalan air bersih.

“Selain itu, terdapat pondok rehat, platform puncak yang kukuh serta kemudahan menerbangkan dron untuk rakaman visual. Khidmat sewaan lampu suluh, tongkat mendaki dan pemandu pelancong berpengalaman turut disediakan,” katanya.

Sebelum memulakan pendakian, setiap pengunjung perlu mendaftar di pejabat Maragang Hill Eco Tourism Association (META) bagi tujuan rekod keselamatan dan cetakan sijil penyertaan.

 

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda