
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Junaidah Ag Damit (Penampang)
PENAMPANG, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Terinspirasi daripada resipi turun-temurun, seorang usahawan tempatan menghidupkan kembali citarasa masakan tradisi “ikan perap warisan unggul” atau lebih dikenali sebagai lauk belumai ke pasaran moden.
Mengekalkan resepi asli Kampung Benoni, Papar, pengasasnya, Junaidah Ag Damit, 43, berkata beliau mengetengahkan resipi warisan ini selepas menyedari hidangan tradisional berasaskan ikan tuna itu semakin sukar ditemui.

Junaidah (kanan) ketika menyertai Pameran Usahawan sempena Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), mempromosikan produk tradisi Ikan Perap Warisan Unggul kepada pengunjung.
Tambahnya, beliau juga mendukung ekonomi luar bandar dengan melibatkan Komuniti Warisan Unggul Kampung Klanahan bersama tujuh komuniti lain di seluruh Sabah antaranya di Ranau, Kota Belud, Membakut dan Papar.
“Saya ambil pendekatan untuk mengetengahkan produk tempatan, hasil kampung supaya dapat dikomersilkan dan lebih berdaya saing melalui resipi ikan perap warisan unggul. Produk ikan perap ini telah berada dipasaran sejak 13 tahun lalu dalam bentuk sejuk beku.
Tahun ini, beliau memperkenalkan variasi sedia dimakan (ready to eat) selepas mengikuti program pembangunan usahawan (SATA) dibawah anjuran Pitch Borneo.
“Inovasi ini membolehkan kami menghasilkan pelbagai variasi rasa seperti tuhau, bunga kantan, lada putih, mangga dan nenas, semuanya mengekalkan rasa autentik Sabahan,” katanya ketika menyertai pameran usahawan sempena Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), di sini pada Selasa.
Jelas Junaidah, perniagaanya berkembang dengan positif hasil bimbingan, sokongan dan pembiayaan pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MIDE), dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Kenangan kemenangan Junaidah dalam Pertandingan Pitch Borneo 2025 Grassroots Innovation.
“Antara pencapaian penting saya termasuk penerimaan geran pembungkusan, bantuan modal bernilai RM20,000 daripada LKIM dan LPP serta geran pembangunan komuniti sebanyak RM100,000 bagi memperkukuh komuniti Warisan Unggul Kampung Kelanahan.
“Produk ikan perap ini turut mencatat kejayaan apabila memenangi RM20,000 dan tersenarai dalam 10 idea terbaik daripada 150 penyertaan bagi tiga zon Papar, Kota Marudu dan Tawau dalam pertandingan Pitch Borneo 2025 Grassroots Innovation,” ujarnya.
Selain Ranau, Keningau, Papar serta Kota Kinabalu, ikan perap warisan unggul juga dipasarkan ke negeri Johor melalui perkhidmatan ejen dengan jangkaan tempahan sebanyak 5,000 unit ke Kuala Lumpur untuk tahun 2026.
-RJ-





