
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 8 Nov (MalaysiaAktif) – Kempen Internet Selamat (KIS) adalah langkah bijak kerajaan dalam membentuk generasi celik digital.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan Radiansyah Rahman yang menyambut baik pelaksanaan KIS menerusi program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku di sekolahnya pada Khamis, berkata ia memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan keselamatan dalam talian.

Sebahagian ahli Kelab Malaysiaku yang menyertai program program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku di SMK Nabawan pada Khamis.
“Ia malah turut mendidik mereka menjadi pengguna internet yang beretika, bertanggungjawab dan berfikir sebelum bertindak.
“Program seperti ini amat bermanfaat dan wajar diteruskan pada masa akan datang. Ia membantu membina kesedaran dalam kalangan pelajar tentang bahaya penyalahgunaan internet serta cara menggunakan platform digital secara selamat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini.
KIS bertujuan mendidik pelajar agar lebih beretika, berwaspada dan bertanggungjawab dalam penggunaan internet sejajar aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan berdisiplin.
Pada masa sama program JIWA MADANI @ Kelab Malaysiaku yang diadakan secara santai itu turut dimeriahkan dengan ceramah kenegaraan, sesi dialog interaktif serta kuiz bagi meningkatkan kefahaman peserta.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Nabawan Sam Mansibu ketika menyampaikan ceramah KIS, berkata penggunaan internet tanpa kawalan bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada kandungan tidak bermoral seperti laman lucah, fitnah dan judi, malah boleh mengundang risiko kecurian data peribadi oleh penjenayah siber.
“Sebelum melakukan sesuatu, perlu berfikir sebelum bertindak. Pelajar harus menjauhi laman web yang berunsur negatif kerana ia bukan sahaja menjejaskan akhlak, malah boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial.

Pegawai Penerangan Daerah Nabawan Sam Mansibu menyampaikan sijil penghargaan kepada guru penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Nabawan Radiansyah Rahman.
“Melayari laman web yang tidak bermoral boleh mempengaruhi tingkah laku remaja, termasuk budaya ganas dan perbuatan buli dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahaya penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa melalui aplikasi seperti WhatsApp yang boleh mencetuskan kekeliruan serta fitnah dalam masyarakat.
“Sebagai pengguna yang bertanggungjawab, kita perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi. Gunakan aplikasi seperti Chatbot AIFA, Portal Sebenarnya.my dan MyCheck Malaysia untuk memastikan sesuatu berita itu sahih.
“Para pelajar juga boleh menyalurkan aduan mengenai berita palsu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi pautan https://aduan.skmm.gov.my,” ujarnya.
-RI





