
Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz (Muallim)
TANJONG MALIM, 27 Nov (MalaysiaAktif) – Skuad Pekerti di bawah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong Malim telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di beberapa kawasan sekitar daerah Muallim susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Malek Farok bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjong Malim Khairol Najib Hashim (tengah) turun padang ke PPS.
Pengerusi Persatuan Skuad Pekerti Malek Farok berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen persatuan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli.
“Seramai 30 sukarelawan turun padang bagi menyalurkan bantuan kepada 55 keluarga yang terjejas banjir di tiga lokasi pusat pemindahan sementara (PPS).
“Usaha ini diharap dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sokongan moral kepada mereka dalam menghadapi situasi sukar ini,” katanya ketika ditemui di PPS Surau Nur Hidayah Kampung Sungkai Muda, di sini kelmarin.

Sukarelawan Skuad Pekerti menyantuni mangsa yang terjejas banjir di PPS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan berkenaan.
Para sukarelawan juga membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan kediaman dan kawasan awam sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
-RI





