Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

596 Keluarga Dapat Manfaat Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor

By 3 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)

JERAM, 3 Dis (MalaysiaAktif) – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) telah menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir melibatkan 596 keluarga yang melanda kawasan tersebut sejak Isnin lalu.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor Nasrul Hadi Rohani selaku pengerusi TIJARI Daerah Kuala Selangor berkata sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa banjir, serta memperkukuh jaringan sosial dan keagamaan.

Mangsa bencana perlu mengemukakan kad pengenalan sebagai pengesahan menerima bantuan.

“Selain daripada itu bantuan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri, MAIS dan JAIS terhadap kebajikan dan kemaslahatan umat Islam serta masyarakat yang terkesan dengan bencana alam.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang terjejas boleh berbuat demikian ke Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor, melalui Maybank Islamic 562106718620,” katanya sejurus selepas menyampaikan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching, semalam.

Selain sumbangan yang telah disampaikan kepada 596 keluarga itu, TIJARI juga telah memberikan sumbangan kepada institusi seperti masjid, surau, Sekolah Rendah Agama dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri Selangor kali ini berjumlah RM244,450.

Hadir sama Penghulu Mukim Jeram Mohd Rizan Haron dan Ketua Kampung Bukit Kuching Zulkifli Tugimin.

-RI

Tinggalkan komen anda