Skip to main content
Berita TempatanSarawak

80 Petani Zon Singai Bangkit Perkasa Ilmu Pertanian

By 8 Disember 2025Disember 16th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)

BAU, 08 Dis (Malaysia Aktif)– Seramai 80 peserta terdiri daripada komuniti petani masyarakat Bidayuh dari 15 kampung Zon Singai tampil menyambut baik serta berjaya mengikuti Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) yang berlangsung selama dua hari di Dewan Kampung Daun Singai, di sini bermula Sabtu.

Program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Bau itu memberi ruang kepada para petani memperluas pengetahuan pertanian moden sekali gus meningkatkan potensi menjana pendapatan keluarga.

Penganjuran tersebut turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep.

Henry Jinep menyampaikan sijil kepada peserta Program AgriCOP Zon Singai.

Dalam ucapannya, Datuk Henry menzahirkan penghargaan atas semangat dan komitmen peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Tahniah kepada semua peserta komuniti petani Zon Singai yang begitu bersemangat mengikuti kursus ini. Inisiatif ini menjadi platform kerajaan Sarawak menggalakkan penduduk mempelbagaikan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup setempat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa usaha memperkukuh sektor pertanian juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import serta melonjakkan potensi ekonomi di kawasan luar bandar.

Datuk Henry turut menekankan kepentingan pendedahan seperti yang diberikan dalam program AgriCOP, khususnya dalam membantu petani memahami keperluan semasa industri pertanian di negeri ini.

“Kursus sebegini penting kerana ia meliputi pengetahuan mengenai pengurusan tanaman sayuran dan kontan, pelesesan, ternakan ikan dalam kolam atau tangki, demonstrasi kaedah cantuman buah-buahan, pengurusan penyakit dan perosak padi serta pengurusan tanaman kopi liberia,” jelasnya.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Bahagian Kuching Awang Roslan Awang Hipni dan Ketua Kampung Daun Singai, Roystein Giles.

-RJ-

Tinggalkan komen anda