Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hab ODEL Perintis Industri Hiliran Ikan Bulu di Sri Aman

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)/UKAS

SRI AMAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Industri hiliran berasaskan sumber sungai di Bahagian Sri Aman kini memasuki fasa transformasi baharu dengan pembukaan Hab Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan Bulu ODEL di Kampung Pasir Panas, di sini.

Pusat pemprosesan yang diterajui usahawan muda, Nur ‘Izzati Zalaluddin mencatat sejarah sebagai hab pertama seumpamanya di bahagian ini yang memberikan nilai tambah kepada spesies ikonik Sungai Batang Lupar.

Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata kewujudan hab berkenaan bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah menjamin rantaian pasaran lebih stabil bagi nelayan sungai di sekitar Batang Lupar.

Mahra Salleh ketika merasmikan Hab Pemprosesan Ikan Bulu ODEL di Kampung Pasir Panas, Sri Aman, yang bakal menjadi pemacu ekonomi hiliran baharu di daerah itu.

“Model perniagaan ini harus dicontohi kerana ia mengangkat martabat ikan bulu daripada sekadar tangkapan harian mentah kepada produk sedia dimakan yang bernilai tinggi. Ia juga membuktikan spesies tempatan mampu menjadi pemacu ekonomi penduduk luar bandar melalui inovasi produk makanan,” katanya semasa merasmikan hab tersebut, di sini semalam.

Mahra menambah setiap 250 kilogram ikan bulu yang dibeli daripada nelayan tempatan mampu menghasilkan 200 unit produk sedia makan dengan nilai keuntungan mencecah RM3,000 bagi setiap kitaran pemprosesan.

Beliau turut menyifatkan produk berasaskan ikan bulu sebagai pelengkap kepada ekosistem pelancongan Sri Aman, setanding produk agro-pelancongan sedia ada seperti madu kelulut di Lubok Antu, kraftangan manik dan Pesta Benak.

Mahra Salleh meninjau proses pemprosesan sistematik di Hab ODEL, memastikan kualiti produk ikan bulu terjaga.

“Produk ini kini menjadi antara ‘buah tangan’ wajib bagi pelawat. Kepelbagaian tarikan seperti ini adalah kunci membantu kerajaan mencapai sasaran kemasukan empat hingga lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan industri, Mahra memaklumkan pihaknya akan melaksanakan kajian kelestarian khas untuk memantau kitaran biologi ikan bulu agar bekalan bahan mentah konsisten sepanjang tahun tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi sungai.

Fasiliti Hab ODEL kini dilengkapi ruang pemprosesan sistematik, aspek pembungkusan mengikut piawaian kebersihan, serta ruang penyimpanan sejuk untuk memastikan kualiti produk terjaga sebelum dipasarkan secara meluas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda