Skip to main content
Berita TempatanSarawak

“Flying Helicopter” Sarawak: Buah Engkabang Dari Hutan ke Meja Makan

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)/ Cassidy Lisut (BKVS)

SEMATAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Sebuah pekan kecil di Sarawak, Sematan, menyimpan khazanah alam yang unik melalui buah Engkabang atau lebih dikenali sebagai “The Flying Helicopter”. Nama ini diberikan kerana bentuknya menyerupai helikopter iaitu apabila gugur, buah ini berputar perlahan ke tanah seolah-olah sedang ‘terbang’.

Buah Engkabang yang kini dijual di Pasar Lundu hanya berbuah sekali setiap lima tahun, menjadikannya sangat bernilai dan jarang ditemui.

Selain bentuknya yang menarik, buah Engkabang terkenal dalam masakan tradisional Sarawak. Sejak zaman dahulu, masyarakat tempatan menggunakan buah ini untuk menghasilkan minyak Engkabang, bahan penting yang memberi rasa dan aroma asli dalam pelbagai hidangan tempatan.

Kini inovasi membawa buah ini ke meja moden. Normah Abdullah, 51, seorang pengusaha gerai makanan di Sematan, semalam memperkenalkan Sambal Goreng Engkabang yang mengekalkan rasa tradisional tetapi sesuai dengan citarasa masa kini.

Normah pengusaha sambal goreng Engkabang di Sematan, memperkenalkan hidangan tradisional Sarawak dengan sentuhan moden yang memikat selera ramai.

“Saya mahu orang ramai rasa uniknya Engkabang dalam masakan moden tanpa hilang rasa tradisional Sarawak,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Akttif, di sini semalam.

Amir Allisty, 29, yang pertama kali mencuba hidangan ini bersama nasi goreng, mengakui rasanya menyelerakan.

“Gabungan rasa pedas, manis, dan lemak minyak Engkabang memang unik. Saya terus jatuh hati dengan hidangan ini,” katanya sambil tersenyum.

Amir Allisty mencuba buat pertama kali sambal goreng Engkabang yang dihidangkan bersama nasi goreng seafood, menyifatkan rasanya unik dan menyelerakan.

Selain masakan, buah Engkabang berpotensi dalam bidang kesihatan dan kosmetik kerana minyaknya kaya dengan nutrien. Keunikan ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan, malah turut membantu memelihara flora hutan Sematan dan Sarawak.

Dengan bentuk yang menarik, kegunaan pelbagai, dan inovasi kreatif yang berkembang di Sematan, buah Engkabang membuktikan bahawa harta karun alam semula jadi bukan sekadar untuk dikagumi, tetapi boleh memberi impak nyata kepada masyarakat.

Dari hutan Sematan ke dulang makan kita, Engkabang mengingatkan bahawa warisan, kreativiti, dan kelestarian alam boleh berjalan seiring dan hasilnya amat menakjubkan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda