Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Dinding Bercerita, Kreativiti Anak Jati Menghidupkan Sejarah Simunjan

By 17 Februari 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Firdaus Hadi (Simunjan)

SIMUNJAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Di sebalik deretan dinding bangunan lama di Pekan Simunjan, kini terukir kisah silam yang kembali bernyawa. Sentuhan seni mural bukan sekadar mencantikkan ruang, malah menjadi wadah mengangkat sejarah serta identiti tempatan yang kian dilupakan.

Aida merakam kenangan dengan berswafoto berlatarbelakangkan mural yang sedang dilukisnya.

Projek mural ini merupakan hasil karya anak jati Kampung Kelaka, Simunjan, Aida Syazni Mohd Jaffery, 29, graduan Seni Halus dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Berbekalkan kreativiti dan kecintaan mendalam terhadap tanah kelahirannya, beliau menampilkan elemen-elemen penting sejarah Simunjan, termasuk warisan unik yang jarang diketahui generasi masa kini.

Menurut Aida, penghasilan mural tersebut merupakan satu inisiatif strategik untuk mendekatkan generasi muda dengan sejarah daerah melalui pendekatan visual yang lebih santai dan mudah difahami.

“Kebanyakan generasi muda hari ini kurang mengenali sejarah yang pernah mewarnai daerah Simunjan suatu ketika dahulu. Justeru, mural ini menjadi medium yang lebih mudah dan berkesan untuk menyampaikan maklumat sejarah kepada masyarakat,” katanya ketika ditemu bual pada 13 Februari lalu.

Boiler Perlombongan Batu Arang digunakan dalam aktiviti perlombongan di Gunung Ngeli sekitar awal 1960-an ketika era pentadbiran British. Kini menjadi tinggalan bersejarah yang mengingatkan kegemilangan industri tersebut.

Walaupun mural yang dihasilkan tergolong dalam kategori mural komersial yang lazimnya digunakan bagi tujuan promosi dan pemasaran kawasan atau premis perniagaan, karya ini melangkaui fungsi tersebut. Nilai seni yang diketengahkan serta mesej sejarah yang disampaikan memberikan dimensi baharu, sekali gus mencipta impak jangka panjang kepada komuniti setempat.

Dari sudut pelaksanaan, proses penghasilan mural mengambil masa sembilan hari, bermula dengan lakaran awal bagi memastikan ketepatan komposisi sebelum diteruskan dengan proses pewarnaan secara berperingkat. Pemilihan bahan turut diberi perhatian khusus bagi menjamin ketahanan karya terhadap cuaca luar.

Penggunaan cat jenis Weatherbond daripada Nippon Paint membantu memastikan warna kekal menyerlah dan tahan lama, manakala kemasan akhir Nippon Slate Finish (Gloss) memberikan efek kilauan yang memperindah keseluruhan mural.

Kereta Suar – Pengangkutan unik suatu ketika dahulu untuk mengangkut barangan di atas landasan. Kini masih dapat dilihat di Kampung Sual sebagai simbol kehidupan dan ekonomi masyarakat lampau.

Usaha ini membuktikan bahawa seni visual mampu berperanan sebagai medium strategik dalam menyampaikan maklumat sejarah, selain menyokong pemeliharaan identiti dan warisan daerah Simunjan.

Secara keseluruhannya, projek mural ini bukan sahaja memperindah landskap Pekan Simunjan, malah berfungsi sebagai galeri terbuka yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah dan jati diri mereka melalui bahasa seni yang segar dan dekat di hati.

-RJ-

Tinggalkan komen anda