
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Kira-kira 80 “Saudara Kita” berbangsa Tionghua diraikan dalam Majlis Meraikan Saudara Kita bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis anjuran Masjid Setia Raja Mukah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Mukah serta Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Mukah itu bertujuan memperkukuh hubungan antara kaum dan menyemarakkan perpaduan masyarakat majmuk di daerah ini.

Abdul Yaakub Arbi (baju merah) bersama isteri, Abby (kanan) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Meraikan Saudara Kita bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Mukah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yaakub Arbi berkata, pendekatan meraikan “Saudara Kita” tanpa mengira latar belakang kaum dan agama menjadi asas penting dalam membina masyarakat bersatu padu.
“Apabila kita meraikan perayaan masyarakat Tionghua seperti Tahun Baharu Cina, ia bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan keikhlasan dan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di sini.
Menurut Abdul Yaakub, konsep “Saudara Kita” bukan sahaja merujuk kepada persaudaraan sesama Muslim, malah diperluaskan dalam konteks masyarakat majmuk sebagai lambang kebersamaan dan tanggungjawab bersama memelihara keharmonian.

Sesi bual bicara Podcast Bersama Ustaz Wahab Salahuddin Ling disampaikan wakil Bahagian Halal JAIS Kuching dan dikendalikan Rafidah Samad daripada Hidayah Centre Cawangan Sibu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jaafar Zaini berkata, program seumpama itu menjadi platform terbaik memupuk persefahaman dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Mukah.
Majlis turut diisi dengan sesi bual bicara bertajuk Podcast Bersama Ustaz Wahab Salahuddin Ling yang disampaikan wakil Bahagian Halal JAIS Kuching serta dikendalikan moderator daripada Hidayah Centre Cawangan Sibu.
-RJ-





