
Oleh: Nurul Akmal Zainuddin
JELEBU, 14 Okt (Malaysiaaktif) – “Pada mulanya saya risau dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan takut jualan tidak laku. Namun kerisauan ini ibarat permainan perasaan semata-mata apabila kumpulan saya diumumkan mendapat keuntungan jualan sebanyak 600%”.
Pelajar Kolej Komuniti STE6, Norfaradila Aina berkata demikian ketika ditemui Malaysiaaktif ketika Karnival Keusahawanan Kolej Komuniti Jelebu 2016 di lobi Kolej Komuniti Jelebu semalam.
Tambahnya, idea untuk menjual air ini dicadangkan oleh abangnya dan promosi yang diadakan hanyalah dengan menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp.
“Semua peserta keusahawanan mendapat pengalaman yang berharga. Saya tidak menyangka dengan hanya menjual pelbagai jenis air buah boleh mendapat keuntungan yang berlipat ganda,” ujarnya yang telah menjalankan perniagaan tersebut bersama rakan-rakan sekelasnya.
Karnival yang bertemakan “Usahawan Muda, Pemangkin Ekonomi Negara” itu bertujuan untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar. Setiap kelas yang terlibat perlu menguruskan sendiri jualan mereka dengan bantuan pensyarah masing-masing. Mereka diberi kebebasan untuk menentukan jenis produk yang dijual.
Pda majlis itu, Pengarah Kolej Komuniti Jelebu Lt. Kol. Bersekutu (PA) Md Kasim Jaafar telah menarik teh tarik sebagai simbolik perasmian karnival.

Simbolik perasmian karnival oleh Pengarah Kolej Komuniti Jelebu, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Md Kasim Jaafar
Selain jualan pelajar, agensi-agensi kerajaan juga turut sama memeriahkan program dengan membuat pameran. Antaranya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seremban, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Jelebu, dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Jelebu.
Bagi pensyarah, Nur Amanina Roslee beliau amat berpuas hati dengan prestasi pelajar-pelajarnya.
“Selain jualan makanan, ada juga perkhidmatan cuci kereta yang disediakan oleh pelajar. Demonstrasi membuat apam polka dot juga berjaya menarik perhatian ramai. Saya gembira melihat peserta bukan sahaja mempraktikkan ilmu keusahawanan yang dipelajari tetapi juga mampu bekeja dalam kumpulan dan kemahiran komunikasi mereka juga meningkat,” ujarnya.
Kolej Komuniti Jelebu merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan memberi peluang latihan dan kemahiran kepada semua peringkat masyarakat serta peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
-SF