
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Umat Islam di daerah ini diseru menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi memastikan proses kutipan dan agihan kepada golongan asnaf dapat dilaksanakan secara teratur sebelum Aidilfitri.
Pengurus Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Mukah, Osman Immun berkata kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi tahun ini ialah RM7.50 seorang, selaras dengan ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

Osman Immun (tengah) mempelawa orang ramai menunaikan zakat harta dan zakat pendapatan, turut kelihatan Ustaz Izzat Haniff (kanan) dan Mohd Helmi (kiri).
Menurut beliau, pembayaran awal bukan sahaja memudahkan pembayar merancang kewangan, malah membantu pihak pengurusan menyelaras agihan dengan lebih sistematik dan efisien.
“Pembayaran lebih awal amat digalakkan bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir selain memberi ruang mencukupi untuk proses penyaluran bantuan kepada asnaf sebelum Syawal,” katanya ketika ditemui di pejabat Baitulmal, di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman lalu, masih terdapat segelintir masyarakat yang menunaikan zakat fitrah pada hari-hari terakhir Ramadan sehingga menimbulkan kesesakan dan risiko terlupa.

Kaunter Tabung Baitulmal Mukah beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bagi memudahkan urusan pembayaran zakat.
“Apabila hampir Aidilfitri, ada yang berdepan kekangan masa kerana komitmen kerja dan urusan keluarga. Justeru, kita menggalakkan orang ramai menyegerakan pembayaran supaya tidak tergesa-gesa,” katanya.
Tambahnya, kutipan yang diterima lebih awal membolehkan bantuan disalurkan sebelum Syawal agar golongan asnaf dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Bagi memudahkan urusan, orang ramai boleh menunaikan zakat fitrah di Pejabat Tabung Baitulmal Mukah pada waktu operasi ditetapkan atau di Masjid Setia Raja Mukah yang merupakan antara lokasi rasmi kutipan di daerah ini.

Penulis bersama kakitangan JAPEN Mukah mengisi Borang Potongan Zakat Pendapatan dengan dibantu Pegawai Baitulmal Mukah, petang ini.
Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui amil zakat fitrah bertauliah yang dilantik oleh Majlis Islam Sarawak menerusi Tabung Baitulmal Sarawak di surau, balai raya atau kediaman amil yang ditetapkan.
Osman menegaskan zakat fitrah bukan sekadar kewajipan individu, malah mencerminkan keprihatinan sosial dalam membantu golongan kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, umat Islam di daerah ini digesa agar menyegerakan pembayaran zakat fitrah bagi memastikan kelancaran kutipan dan agihan demi kesejahteraan komuniti.
-RJ-





