Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Nian Gao Terus Dipelihara Sebagai Simbol Kemakmuran Masyarakat Cina

By 27 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lee Nyuk Lan (Sarawak)

KUCHING, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Di sebalik arus pemodenan, tradisi pembuatan Nian Gao atau kuih bakul terus dipelihara sebagai simbol kemakmuran dan keharmonian masyarakat Cina di negara ini.

Yee menunjukkan sebiji Nian Gao ketika ditemu ramah oleh wartawan MalaysiaAktif di gerainya, semalam.

Bagi pengusaha produk berkenaan Tan Lin Yee, 51, penjualan Nian Gao bukan sekadar untuk mencari keuntungan, sebaliknya satu tanggungjawab memastikan rasa asli dan kualiti kuih tradisional buatan sendiri terus dinikmati pelanggan.

Menurutnya yang telah 35 tahun mengusahakan perniagaan bermusim ini, Nian Gao membawa maksud ‘tahun yang lebih tinggi’ menjadi elemen penting dalam upacara sembahyang serta sambutan Tahun Baharu Cina.

“Teksturnya yang manis dan melekit dipercayai sebagai simbol doa agar hanya perkara baik disampaikan ke langit, selain membawa maksud “Nian Nian Gao Sheng” iaitu peningkatan rezeki dan kedudukan saban tahun,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Beliau berkata sebiji Nian Gao seberat 500 gram (g) pernah dijual pada harga RM1.20 sekitar tiga dekad lalu, namun kini meningkat kepada RM6 berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Walaupun berlaku perubahan harga, permintaan terhadap kuih buatan sendiri itu katanya kekal stabil kerana pelanggan masih mengutamakan rasa tradisional.

Selain digoreng bersama ubi keledek, Nian Gao juga diinovasikan dengan balutan kulit popia bagi memenuhi selera generasi muda.

Dari segi persembahan, pembungkusan daun pisang yang sinonim suatu ketika dahulu kini banyak digantikan dengan bekas plastik demi ketahanan dan kemudahan.

Usaha berterusan peniaga kecil seperti Yee membuktikan bahawa warisan budaya terus relevan dan berperanan penting dalam mengekalkan identiti masyarakat Cina di Malaysia.

-RJ-

Tinggalkan komen anda