
Laporan/foto: Nur Amanda Soo/Kelab SATOC (Sarawak)
KUCHING, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Sukan pickleball semakin mendapat tempat dalam kalangan belia di Kuching apabila ramai memilihnya sebagai aktiviti riadah sihat serta medium interaksi sosial.
Trend itu selari dengan perkembangan global yang menyaksikan pickleball antara sukan paling pesat berkembang kerana mudah dipelajari, inklusif dan tidak memerlukan kos permulaan tinggi.

Pasukan Kelab SATOC dan Business Events Sarawak merakam gambar kenangan selepas perlawanan persahabatab di Pikabol Malaysia, Kuching, semalam.
Perkembangan berkenaan dizahirkan menerusi perlawanan persahabatan antara Kelab SATOC dan Business Events Sarawak di Pikabol Malaysia, Kuching yang melibatkan lebih 40 peserta.
“Melalui perlawanan persahabatan ini, kami bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ahli serta mengeratkan hubungan dengan pihak industri,” kata Presiden Kelab SATOC, Norziati Solhi, semalam.
“Kelab akan terus menganjurkan lebih banyak aktiviti bagi menarik penyertaan baharu dan momentum positif ini dijangka memacu pickleball sebagai sukan pilihan belia di Kuching sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti lebih aktif dan sihat,” katanya.

Norziati Solhi berkata perlawanan pickleball memperkukuh semangat kebersamaan ahli kelab serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.
Gabungan elemen tenis, badminton dan ping pong menjadikan sukan itu sesuai untuk pelbagai peringkat umur dengan format permainan santai tetapi kompetitif.
Selain meningkatkan kecergasan dan koordinasi, pickleball turut berperanan sebagai platform membina jaringan sosial dalam kalangan belia dan profesional muda.
-RJ-





