
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sarawak)
SRI AMAN, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Jalan raya di bandar Simanggang bertukar menjadi ‘sungai cahaya’ apabila tradisi Juntoi kembali memukau lebih 5,000 pengunjung malam tadi.
Edisi ke-132 tahun ini bukan sekadar perarakan biasa, malah menjadi nadi identiti masyarakat Sri Aman setiap kali berakhirnya sambutan Tahun Baharu Cina.
Sebanyak 86 kontinjen dari pelbagai daerah di Sarawak termasuk Kuching, Saratok, Betong, Lubok Antu dan Roban membuktikan Juntoi mampu menyatukan komuniti merentasi sempadan daerah.

Ribuan pengunjung membanjiri Tokong Ciyun bagi menyaksikan perarakan tradisi Juntoi yang menjadi simbol perpaduan masyarakat Simanggang.
“Penglibatan luar biasa ini turut melibatkan penyertaan aktif daripada kawasan Engkilili dan Batu Lintang. Keunikan Juntoi tahun ini diperhebatkan dengan lebih 20 buah kenderaan berhias yang memancarkan kreativiti budaya tempatan,” kata Setiausaha Simanggang Soon Heng Society, Goh Kaw Sze ketika ditemu bual, semalam.
Suasana bandar semakin gamat dengan aksi tangkas enam kumpulan tarian naga dan lebih 10 kumpulan tarian singa yang mengiringi laluan perarakan.
Tumpuan pengunjung turut terarah kepada dua kumpulan Chingay atau panji besar yang megah dikibarkan, sekali gus menambah elemen dramatik dalam perarakan tersebut.
Tradisi yang bermula dari Tokong Ciyun itu menarik ribuan pengunjung yang memenuhi bahu jalan bagi menyaksikan kehebatan warisan turun-temurun secara dekat.

Francis Harden Hollis (tengah) memalu gendang secara simbolik bagi merasmikan Perarakan Juntoi sempena Sambutan Chap Goh Mei ke-132 di Sri Aman.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, yang mengiktiraf Juntoi sebagai simbol kebersamaan masyarakat Sarawak.
Tirai sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Sri Aman berlabuh dengan penuh gilang-gemilang menerusi perarakan Juntoi yang cukup ikonik ini.
-RJ-





