
Laporan/foto: Faizal Nazmi/Facebook Datuk Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Dewan Rakyat akan dibawa semula pada sidang Parlimen akan datang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dijangka akan diadakan pada Jun.
“Jemaah Menteri hari ini telah meneliti hasil daripada dua RUU pindaan perlembagaan melibatkan usaha menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri ke 10 tahun. Seperti umum sedia maklum, pihak kerajaan mendapat 146 undi dan yang diperlukan adalah 148.
“Pada masa yang sama, Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat keputusan RUU tersebut akan dibawa semula dalam sidang mesyuarat yang berikutnya sekitar bulan Jun,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Fahmi berkata kerajaan akan berusaha untuk memastikan Ahli Parlimen Kerajaan memberi sokongan penuh dan hadir mengundi bagi meluluskan pindaan perlembagaan tersebut yang disifatkannya sebagai sangat penting.
Semalam, Fahmi dilaporkan berkata terdapat dua lagi mesyuarat Parlimen pada tahun ini iaitu Jun serta Oktober susulan kegagalan RUU berkenaan memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 lagi tidak hadir dan 44 yang lain berkecuali.
Sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen.
-FN-








