Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Fahmi Mahu Rakyat Diberi Penerangan Situasi Sebenar di Selat Hormuz

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Azza Aziz (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mahu semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berkaitan situasi sebenar konflik di Timur Tengah terutama Selat Hormuz yang menyebabkan berlaku kenaikan harga minyak dunia.

“Saya minta supaya Jabatan Penerangan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)…kita perlu bagi penerangan yang lebih mendalam apa yang sebenarnya berlaku di Selat Hormuz,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Menurutnya, sekatan terhadap sekurang-kurangnya 400 kapal yang sepatutnya melalui kawasan itu akan memberi kesan kepada negara-negara yang tidak mempunyai stok bekalan minyak.

Selat Hormuz sepanjang kira-kira 167 kilometer merupakan laluan utama bagi hampir 20 peratus minyak petroleum dan sepertiga gas asli cecair dunia.

“Kita telah mula membaca laporan-laporan berita dari negara-negara sama ada di sekitar rantau Asia Tenggara atau negara-negara yang lain. Pertama kesan dari segi harga minyak. Di beberapa negara sekitar kita pun, harga minyak melambung tinggi untuk rakyat biasa,” katanya.

Namun, katanya kerajaan masih mengambil langkah perlindungan yang utuh terhadap rakyat Malaysia.

“Tapi apa yang Kerajaan MADANI lakukan untuk melindungi rakyat daripada kesan perubahan yang terlalu tinggi bagi pasaran biasa?

“Untuk semua rakyat Malaysia, warganegara kita kekal menerima BUDI95 sebanyak 300 liter, kuota kita setiap seorang pada harga RM1.99 seliter,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata bekalan minyak di Malaysia masih dalam keadaan stabil dan semakan bersama Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

-RI

Tinggalkan komen anda