
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Tradisi kunjung-mengunjung ke rumah terbuka sempena Aidilfitri di Sarawak terus menjadi jambatan penghubung masyarakat berbilang etnik dan agama di negeri ini.
Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Simanggang mengadakan kunjungan Aidilfitri ke kediaman beberapa ketua masyarakat Melayu di sekitar daerah ini, Sabtu.
Pengerusi PMA Chee Chuan Khor Simanggang, Temenggong Kueh Aik Seng berkata program ziarah tersebut mencerminkan keunikan budaya Sarawak yang mementingkan toleransi dan semangat kebersamaan tinggi.
“Amalan saling mengunjungi dan menghormati tanpa mengira latar belakang kaum serta agama adalah kekuatan utama perpaduan masyarakat kita di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini Sabtu.
Menurut Kueh, program tersebut merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan serta membina semangat kekitaan dalam kalangan penduduk tempatan.
Rombongan tersebut memulakan kunjungan di kediaman Temenggong Mohamad Shah Achang di Kampung Lingga sebelum diteruskan ke rumah Pemanca Abang Norin Abang Norudin di Kampung Masjid Baru Sri Aman.
Turut dikunjungi ialah kediaman Penghulu Zamahari Morshidi di Kampung Hulu Sri Aman serta kediaman orang awam, Abang Ajibi Abang Morshidi dan Zaleha Jamal.
Suasana sambutan di setiap persinggahan memperlihatkan keunikan budaya tempatan dengan hidangan tradisional seperti kek lapis dan lemang yang dinikmati bersama oleh tetamu pelbagai bangsa.
Antara yang menyertai rombongan tersebut ialah Kapitan Kueh Siaw Yong, Jong Foh Phin, Tay Cho Seng, Alice Wee Bee Liang, Ngu Sze Lee serta Simon Khoo Guan Shin.
Aidilfitri dalam konteks Sarawak kini dilihat sebagai simbol penyatuan rakyat yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghargai.
-RJ-








